Bersama Rejimen Askar Melayu Dali bin Haji Ahmad

Pada 1 Disember 1933, sewaktu beliau berumur 18 tahun, Capt. Dali (nombor badan 101, Rejimen Askar Melayu DiRaja) menyertai Experimental Company iaitu kumpulan perintis yang telah membawa kepada penubuhan Rejimen Askar Melayu DiRaja. Experimental Company diasaskan pada 1 Mac 1933 bagi melatih 150 orang Melayu untuk menjadi perajurit terbaik Malaya. Setelah berlatih selama kurang dari 2 tahun, Experimental Company itu telah berjaya membuktikan kepada pihak-pihak yang telah meluahkan ketidakpercayaan terhadap orang-orang Melayu yang dianggap tidak berupaya untuk menguasai disiplin militari. Dengan itu, maka tertubuhlah Rejimen Askar Melayu DiRaja pada 1 Januari 1935.[2]

Sebagai Dram Mejar

Capt. Dali telah memegang jawatan khas di dalam sejarah askar Melayu apabila beliau dilantik sebagai Dram Mejar pertama setelah mempelajari setiap instrumen di dalam pancaragam (termasuk instrumen flute dan bugle) di samping membaca nota muzik. Beliau mengetuai pancaragam askar seramai 44 orang anggota dan memimpin mereka di persembahan-persembahan rasmi serata Malaya dan Singapura. Pada tahun 1937, beliau telah memimpin Malay Drum Corps di dalam sebuah persembahan untuk siaran antarabangsa di bawah segmen berita terpilih British iaitu Universal Newsreel.[4]

Legasi

Capt. Dali mengharungi pertempuran di Singapura pada Februari 1942 sebagai ahli Kompeni 'C' di bawah 1st Battalion, di mana Leftenan Adnan merupakan rakan seperjuangannya. Sewaktu tiga tahun dan sembilan bulan tempoh penaklukan Jepun di Malaya, Capt. Dali telah kembali bersama keluarganya di kampung halaman di Ipoh dan Seri Menanti, di mana beliau telah mengambil kerja-kerja kilang, buruh dan pengawal bagi menyara diri dan keluarga.[2]

Setelah Jepun menyerah diri, Capt. Dali kembali menyertai semula Rejimen Askar Melayu Diraja dan berkhidmat bersama 2nd Battalion sebagai Sarjan Mejar Rejimen ataupun Regimental Sergeant Major (RSM) dan kemudiannya sebagai Pegawai Kadet (Cadet Officer). Semasa tempoh Malayan Union, Capt. Dali adalah merupakan sebahagian dari 17 orang pegawai yang telah ditauliahkan sekaligus oleh Raja England, King George VI dan pemerintah-pemerintah negeri Melayu; Capt. Dali telah bersara sebagai pegawai militari pada tahun 1955 pada usia 40 tahun, setelah berkhidmat selama 21 tahun, 182 hari, bermula dari pangkat Prebet sehingga Kapten.[3]

Memoir & Villa Captain Dali

Setelah memegang beberapa jawatan sepanjang kehidupan dewasanya di Malaya dan Singapura, Capt. Dali akhirnya telah menetap di Taiping, Perak di Kampung Pinang di mana beliau telah membina rumah kediaman tetapnya. Rumah yang berusia lebih dari 60 tahun itu telah melalui pengubahsuaian dan pemulihan, serta diberi nama Villa Capt. Dali.

Di Kampung Pinang, Capt. Dali terus gigih berkhidmat untuk komuniti dengan pelbagai sumbangan dan kegiatan amal jariah dalam menaik taraf kemudahan dan pembangunan di Kampung Pinang. Nama beliau juga amat sinonim dalam pengasasan dan pembentukan Kampung Pinang.

Beliau telah meninggal dunia ketika umurnya 86 tahun pada 9 Februari 2002 di Kampung Pinang. Beberapa tahun kemudian, isterinya Hajjah Saoma Binti Haji Ismail juga telah meninggal dunia pada 10 November 2006 ketika berumur 83 tahun. Pasangan itu telah dikebumikan bersebelahan di tanah perkuburan Islam Kampung Pinang.